Pages

Tuesday 9 April 2013

Bekas Pegawai Tentera Diingatkan tak langgar bai’ah


Diingatkan tak langgar bai’ah
Ahmad Zahid (kiri) pada majlis bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Tawau di Kem Batalion Ketujuh Rejimen Askar Melayu Diraja (7-RAMD), Batalion Infantri Standard, Kem Kubota Tawau, semalam. - Foto A Samad Manaf
Tawau: Bekas pegawai kanan tentera yang berhasrat bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) mewakili pembangkang, diingatkan tidak melanggar bai’ah kepada Yang di-Pertuan Agong semata-mata meraih kepentingan politik.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata janji taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong bagi setiap pegawai kanan tentera perlu kekal sama ada ketika dalam perkhidmatan atau selepas bersara.
Sambil mempersoalkan motif bekas pegawai kanan terbabit termasuk berpangkat Jeneral yang mempersoalkan usaha pasukan keselamatan mempertahankan kedaulatan negara, Ahmad Zahid menegaskan, mereka tidak sepatutnya menjadikan jawatan terdahulu dalam tentera sebagai landasan mengejar cita-cita politik.
“Kita tidak mempunyai masalah jika mereka nak bertanding pada PRU-13 atas tiket parti pembangkang, namun tidak boleh melanggar bai’ah dilafazkan. Mereka tidak boleh jual maklumat (rahsia pertahanan negara) demi kepentingan politik.
Tiada kompromi
“Selain itu, kita tidak berkompromi jika ada pihak menyatakan ketidakpuasan hati terhadap kekuatan pertahanan negara, aset serta strategi ketenteraan dijalankan sekarang atau ketika mereka masih bertugas,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Zon Tawau di Kem Batalion Ketujuh Rejimen Askar Melayu Diraja (7-RAMD), Batalion Infantri Standard, Kem Kubota dekat sini, semalam.
Setakat ini, lima bekas pegawai kanan ATM iaitu Jeneral (B) Tan Sri Md Hashim Hussein; Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid; Laksamana Pertama (B) Imran Abd Hamid; Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Khatab dan bekas Pengarah Kor Agama ATM (KAGAT), Datuk Najmi Ahmad dilaporkan akan mewakili pembangkang pada PRU-13.
Md Hashim diumumkan sebagai calon PKR bagi kerusi Parlimen Johor Bahru manakala Najmi dicalonkan PAS bertanding di Parlimen Baling.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, sekiranya bekas pegawai kanan ATM itu jujur membela nasib anggota tentera, mereka sepatutnya berbuat demikian ketika dalam perkhidmatan dan bukan apabila berada di pentas pembangkang.
“Kenapa mereka tidak melakukannya (membela nasib tentera) ketika masih berkhidmat apabila kuasa (memegang jawatan penting) di tangan mereka. Jangan salahkan orang lain, tetapi diri sendiri.
“Saya fikir eloklah mereka yang menawarkan diri (bertanding PRU-13) ditolak supaya rakyat tahu mereka tidak lagi relevan dalam situasi sekarang,” katanya.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi , kalau dah kata tidak ada masalah kalau bekas tentera bertanding atas tiket Parti Pembangkang , kenapa nak bagi amaran macam macam, ada apa yang hendak di selindungkan, biar lah mereka berkempen dengan tenang dan menyatakan apa yang patut rakyat tahu, jika rasa mereka meyampaikan benda yang palsu dan bohong , maka eloklah di adakan debat perdana secara lansung, sebab debat terbuka adalah terbaik bagi rakyat tahu perkara terjadi dan mempertimbangkan dengan akal waras kurniaan Illahi, jangan dok asyik nak ugut rakyat , jika BN kalah konon Negara akan tergadai, kami yakin le bahawa tiada seorang pun pemimpin dari pakatan rakyat yang sanggup melihat Malaysia muflis atau pun tergadai, harap semua ahli politik sedia maklum dengan apa yang cuba kami sampaikan.


No comments:

Post a Comment